Resepi Lemak Cili Api Sardin ( Resepi Ringkas Untuk 2 Orang)

Resepi sardin boleh dikatakan resepi yang ramai masak. Sekurang-kurangnya sebulan sekali mesti hendak masak sardin. Betul tak? Oleh kerana sardin mudah disimpan tanpa rosak. Bertahun-tahun pun tidak rosak . Lagi satu sebab ia mudah hendak dibawa kemana-mana. Terutamanya bila bercuti, mudah hendak dimasak.

Malah ada juga orang yang makannya secara terus dari tin, sedap juga bila ditambah asam limau, hirisan bawang dan cili api. Lazat tidak terperi dimakan dengan nasi panas. Hendak dimakan dengan roti juga sedap sekali.

Tetapi resepi kali ini, tidak ramai orang yang pernah mencuba. Madam sendiri ketika pertama mendengarnya rasa pelik dan tidak dapat bayangkan rupa lemak cili api sardin ini. Jadi hari ini Madam ingin bawakan satu lagi inovasi masakan sardin. Mari lihat bahan-bahannya.

Resepi Lemak Cili Api Sardin ( Resepi Ringkas Untuk 2 Orang)

Bahan-bahan utama

  • Sardin Ikan Mackerel (Saiz kecil)

Bahan-bahan kisar

  • Cili api segenggam
  • Santan ½ – 1  kotak kecil

Bahan-bahan lain

  • Sebatang serai (ditumbuk hingga bahagiannya pecah)
  • 1 sudu teh serbuk kunyit
  • Asam keping sekeping (saiz kecil)
  • Kentang sebiji saiz besar (kupas dan potong 6)
  • Garam dan serbuk perasa secukup rasa

Kaedah

  • Buka sardin dalam tin.Ketepikan.
  • Kisarkan cili api bersama separuh kotak santan, tambah air jika perlu.
  • Masukkan bahan kisar kedalam periuk, tambahkan serbuk kunyit, asam keping dan serai, kacau rata.
  • Masukkan juga kentang agar ia lebih cepat empuk.
  • Tambah air secawan. Kacau hingga mengelegak.
  • Kemudian masukkan sardin dan kacau rata.
  • Tambahkan santan jika ingin lebih pekat., jika tidak kepekatan sedia ada sepatutnya memadai.
  • Terus memasak sampai kentang empuk. Tambahkan garam dan serbuk secukupnya.
  • Siap.

Sebaiknya guna sardin yang besar seperti ikan mackerel jika tidak suka ikannya pecah-pecah dan hancur. Tapi jika ingin buat pencicah sedap jika ia hancur. Jika suka sedap juga boleh tambah kuantiti cili api. Rasa lemak cili api sardin ini yang sangat sedap jika dimakan bersama ikan masin dan ulam-ulaman.

Resepi Lain Yang Menarik

Inilah antara resepi paling ringkas dan sangat sedap. Anda perlu mencubanya. Selain dari itu,laman web ini juga mempunyai banyak resepi lain yang menarik serta telah dicuba. Terima kasih kerana ‘Like dan Share’. Selamat mencuba.

Give a Comment