Resepi Nasi Ayam Penyet Original daripada Indonesia Gerenti Melazatkan

nasi ayam penyet new

Nasi Ayam Penyet merupakan salah satu hidangan yang popular di Malaysia. Hidangan ini berasal daripada Indonesia, walaubagaimanapun, ianya menjadi popular kerana nasi ayam penyet ini sesuai dengan citarasa orang Malaysia. Rasa sambal penyet yang pedas digabungkan dengan ayam goreng penyet, tempeh, sup dan nasi panas pasti dapat mengambil hati yang merasainya.

Nasi ayam penyet amat mudah untuk disediakan. Bintang utama di dalam nasi ayam penyet, sambal penyet disediakan dengan menggoreng bahan – bahannya terlebih dahulu. Kemudian, ianya akan ditumbuk sehingga lumat sebelum ditumis dan diperasakan. Ayamnya pula akan digoreng sehingga garing keemasan sebelum ditumbuk sehingga menjadi leper ataupun ‘penyet’.

Resepi ini telah dikongsikan oleh Laila Aznam di laman Facebook milik beliau dan mendapat banyak shares dan likes di media sosial. Jom kita lihat bahan – bahan dan cara penyediaan nasi ayam penyet ini!

Resepi Nasi Ayam Penyet

nasi ayam penyet new
Imej via Facebook

Bahan – bahan:

Rebusan ayam:

  • 1 ekor ayam besar (potong, cuci dan ditoskan dahulu)
  • Daun salam / Bayleaf
  • Serai dititik
  • Garam secukup rasa
  • Serbuk pati ayam (jika suka)
  • Bawang merah*
  • Sedikit halia*
  • Sedikit kunyit hidup*
  • Sedikit lengkuas*
    Bahan bertanda (*) dikisar terlebih dahulu

Bahan goreng untuk Ayam goreng, tempeh dan tauhu:

  • 1 cawan tepung beras
  • 1 sudu kecil baking powder
  • 1 sudu kecil jintan manis tumbuk
  • 1 sudu kecil jintan putih tumbuk
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • Lada hitam hancur sedikit
  • Garam secukup rasa
  • Serbuk pati ayam (jika suka)
    (Satukan kesemua bahan)

Sambal penyet:

  • Lada merah & hijau
  • Cili padi merah & hijau (ikut kepedasan masing – masing)
  • Bawang merah kecil
  • Tomato dibelah 4
  • Belacan
  • Garam
  • Gula melaka
  • Sedikit jus limau kasturi

Sup ayam:

  • 3-4 ulas bawang putih
  • Sedikit biji lada sulah
    Kisar halus
  • Garam
  • Kiub ayam
  • Daun sup
  • Bawang goreng

Cara – cara memasak:

Rebusan ayam:

  1. Panaskan minyak, masukkan serai, daun salam dan bahan kisar.
  2. Tumis sehingga naik bau.
  3. Masukkan ayam dan air sehingga ayam tenggelam.
  4. Biarkan ayam masak.

Ayam goreng, tauhu dan tempeh:

  1. Apabila ayam sudah masak (pada rebusan ayam), angkat dan toskan.
  2. Celupkan ayam dalam bancuhan tepung dan goreng garing.
  3. Kemudian, ambil anak lesung dan lenyekkan ayam.
  4. Untuk tauhu dan tempeh, celupkan dalam bancuhan tepung dan goreng garing.

Sambal penyet:

  1. Goreng kesemua bahan dengan minyak sehingga layu dan naik bau.
  2. Kemudian, masukkan ke dalam mesin kisar dan tambahkan sedikit air.
  3. Kisar kasar bersama ikan bilis goreng yang telah goreng terlebih dahulu.
  4. Tambahkan lagi minyak di dalam kuali, masukkan bahan yang telah dikisar dan tumis sehingga garing dan naik minyak.
  5. Perasakan bersama garam dan gula melaka serta jus limau kasturi.
  6. Kacau rata dan biarkan seketika sehingga terbit minyaknya.

Sup ayam:

  1. Panaskan minyak tumis bahan kisar sehingga naik bau.
  2. Masukkan air secukupnya dan boleh tambahkan isi ayam jika mahu.
  3. Perasakan bersama garam dan kiub ayam dan biar mendidih.
  4. Taburkan daun sup dan bawang goreng.
  5. Siap!

Hidangkan bersama nasi putih!

Resepi – resepi lain yang menarik:

Menarik kan resepi ini? Ingin mencuba lebih banyak resepi? Terdapat pelbagai lagi resepi yang anda boleh cuba. Jadi apa tunggu lagi, jom kita cuba! Jangan lupa kongsikan resepi ini bersama yang tersayang!

Give a Comment