Laksam Penang

Beginilah rupa laksam yang dimasak oleh orang Penang.. sebenarnya akak kurang minat makan laksam, tapi disebabkan suami dan anak2 suka, maka akak berusaha membuatnya sampai jadik.. kalau ada yg nak cuba style akak, resipinya di bawah yer..

Homemade Laksam
Resipi dan foto: Mufidah Abdul Hadi Alyunusi

Bahan untuk laksam:
3 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
Lebih kurang 4 1/2 cawan air suam
1 sudu teh garam
1 sudu makan minyak masak

Bahan-bahan untuk kuah:
1/2 kg ikan kembung/sardin
5-6 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
Sedikit halia
Serbuk lada sulah/hitam
Santan dari sebiji kelapa (atau secukup rasa lemak)
Garam dan gula secukup rasa
Asam keping

Bahan sampingan:
Kacang panjang
Taugeh
Timun
Bawang besar
Limau kasturi
Bunga kantan
Belacan bakar
Sambal (Cili kering direbus hingga kembang dan toskan – tumbuk halus dan perasakan dengan garam dan asam..boleh juga tumbuk bersama belacan bakar atau hidang belacan secara berasingan sebagai bahan tabur)

Cara membuat laksam:

Satukan tepung beras, tepung gandum dan garam. Masukkan 4 cawan air suam dan kacau hingga sebati. Jika perlu tambahkan air secukupnya dan kacau sebati. Masukkan minyak dan kacau rata. Panaskan kukusan dan sapukan loyang atau tudung periuk dengan minyak. Bila air kukusan telah mendidih, tuang sedikit adunan ke atas tudung periuk atau ke dalam loyang dan kukus api sederhana hingga masak. Angkat dan biar suam atau sejuk sedikit baru digulung rapat. Ulang proses ini hingga habis.

Cara membuat kuah laksam:

Rebus ikan bersama sedikit asam keping dan garam. Asingkan isi ikan dari tulangnya. Kisar isi ikan hingga halus. Masukkan ke dalam periuk. Kisar pula bawang merah, bawang putih dan halia hingga halus. Masukkan ke dalam periuk bersama isi ikan tadi. Masukkan air rebusan ikan tadi, gula, garam, asam keping, serbuk lada hitam/sulah dan santan. Tambah air secukupnya jika perlu. Masak atas api sederhana sambil dikacau selalu supaya kuah tak berketul.

Hidangkan laksam yang dipotong bersama kuah, sambal, bahan tabur dan belacan bakar jika suka.

kredit resepi kepada ‎Mufidah Abdul Hadi Alyunusi‎ via Masak Apa Hari Ni.. (MAHN)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *